Monday, 15 October 2012

Darah Panas


Simpulan bahasa: darah panas

Maksud: orang yang cepat marah

Contoh ayat: Ricky  yang darah panas itu menumbuk  Alex kerana  mengejeknya.


Cakar Ayam


Simpulan bahasa: cakar ayam

Maksud: tulisan yang buruk dan sukar dibaca

Contoh ayat: Tulisan Nani cakar ayam hingga sukar dibaca oleh gurunya.


Celik Huruf


Simpulan bahasa: celik huruf

Maksud: Dapat membaca dan menulis

Contoh ayat: Budak lelaki yang celik huruf itu baru berusia empat tahun.


Cangkul Angin


Simpulan bahasa: cangkul angin

Maksud: Perbuatan yang tidak berfaedah

Contoh ayat: Perbuatan  orang yang suka berpoya-poya di kelab malam itu samalah seperti mencangkul angin.


Cahaya Mata


Simpulan bahasa: cahaya mata

Maksud: anak

Contoh ayat: Puan Selvi dan Encik Raju baru mendapat cahaya mata yang pertama.


Buta Hati


Simpulan bahasa: buta hati

Maksud: bersifat kejam

Contoh ayat: Mendera kanak-kanak adalah perbuatan orang yang buta hati.


Buah Hati


Simpulan bahasa: buah hati

Maksud: orang yang di sayangi; kekasih

Contoh ayat: Pada setiap petang Aina akan berjumpa dengan buah hatinya itu.


Bangkai Bernyawa


Simpulan bahasa: bangkai bernyawa

Maksud: Kurus kering dan tidak bermaya

Contoh ayat: Keadaan penagih dadah di lorong itu seperti bangkai bernyawa.


Balik Gagang


Simpulan bahasa: balik gagang

Maksud: Kembali ke tempat asal

Contoh ayat: Akhirnya mereka  balik gagang setelah tamat pengajian di luar negara.


Banting Tulang


Simpulan bahasa: banting tulang

Maksud: Bekerja keras

Contoh ayat: Pak Mat membanting tulang di sawahnya untuk menyara keluarga.


Bertegang Leher


Simpulan bahasa: bertegang leher

Maksud: Berkeras dan tidak mahu mengaku kalah

Contoh ayat: May Ling sanggup bertegang leher dengan abangnya daripada mengakui kesalahannya.


Berat Tulang


Simpulan bahasa: berat tulang

Maksud: orang yang malas bekerja

Contoh ayat: Oleh  sebab Ah Tong berat tulang, maka  abangnya  terpaksa bekerja seorang diri di ladang mereka.


Buruk Makan


Simpulan bahasa: buruk makan

Maksud: makan dengan gelojoh

Contoh ayat: Budak yang buruk makan itu ialah adik Salbiah.


Buaya Darat


Simpulan bahasa: buaya darat

Maksud: lelaki yang suka memperdayakan wanita

Contoh ayat: Jangan mudah terpedaya oleh pujuk rayu lelaki itu kerana buaya darat.


Bongkok Sabut


Simpulan bahasa: bongkok sabut

Maksud: keadaan badan sesorang yang bongkok kerana sudah tua

Contoh ayat: Orang tua itu terpaksa bertongkat ketika berjalan  supaya dapat menyeimbangkan badannya yang bongkok sabut itu.


Barang Kemas


Simpulan bahasa: barang kemas

Maksud: barang perhiasan yang diperbuat daripada emas, perak atau batu permata

Contoh ayat: Murid-murid dilarang memakai barang kemas ketika ke sekolah.


Anak Dagang


Simpulan bahasa: anak dagang

Maksud: orang yang merantau ke tempat orang lain

Contoh ayat: Sebagai anak dagang, Hasan pandai mengambil hati penduduk tempatan.


Anak Bulan


Simpulan bahasa: anak bulan

Maksud: bulan yang kelihatan pada hari pertama dalam hijrah

Contoh ayat: Pantai Acheh di Pulau Pinang merupakan tempat melihat anak bulan bagi menentukan hari permulaan puasa.


Air Mati


Simpulan bahasa: air mati

Maksud: air yang telah  dimasak dan disejukkan

Contoh ayat: Cikgu Jawiyah menasihati kami agar minum air mati dengan banyak terutama pada musim panas.


Sunday, 14 October 2012

Anak Bapa


Simpulan bahasa: anak bapa

Maksud: anak kesayangan dan kebanggaan bapa

Contoh ayat: Dia digelar anak bapa oleh rakan-rakannya kerana terlalu rapat dengan bapanya.



Air Muka


Simpulan bahasa: air muka

Maksud: rupa atau wajah yang menggambarkan perasaan seseorang

Contoh ayat: Air muka Mary muram semenjak ibunya meninggal dunia.



Ada Bakat

Simpulan bahasa: ada bakat

Maksud: ada kebolehan

Contoh ayat: Amin memang ada bakat dalam bidang muzik kerana selain menyanyi dia pandai bermain gitar.


Definisi Simpulan Bahasa

Simpulan bahasa  ialah rangkai kata yang mempunyai makna tersirat.

Informasi Pantun


   Pantun merupakan tradisi lisan yang masih hidup sehingga kini. Pantun berfungsi dalam hamper semua aspek seperti kegiatan berunsur upacara,kegiatan seni dan kegiatan berunsur pendidikan menyebabkan pantun terus digemari.

   Pantun-pantun yang dicipta oleh masyarakat Melayu tradisional menggambarkan pemikiran masyarakat yang menghasilkannya. Pantun juga terhasil daripada pengalaman hidup yang sederhana, yang dijalin dengan daya keintelektualan dan seni masyarakat Melayu tradisional.Justeru kita harus memelihara pantun sebagai warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Informasi Peribahasa


Definisi Peribahasa

Peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap, rapi  serta mempunyai pengertian  yang tertentu.

Makna Tersirat

Makna peribahasa itu berkaitan  dengan sikap dan perlakuan manusia yang digambarkan dengan pelbagai situasi yang dengan sikap dan perlakuan manusia yang digambarkan dengan pelbagai situasi yang berkaitan dengan  alam sekeliling seperti benda, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Tujuan  atau Peranan Peribahasa

Peribahasa digunakan untuk pengajaran atau teguran  dengan cara yang sopan dan halus.

Jenis-jenis Peribahasa

  1. Perumpamaan
  2. Simpulan bahasa
  3. Bidalan
  4. Pepatah
  5. Kata-kata Hikmat


Sekapur Sireh


Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

   Terlebih dahulu saya mengucapkan rasa syukur kepada Allah  s.w.t kerana dengan izinNya, maka blog Laman Peribahasa ini dapat saya bangunkan. Saya memilih skop peribahasa sebagai pengisian di blog saya ini kerana saya mendapati bahawa peribahasa bukan setakat penyusunan perkataan yang rapi atau kelompok perkataan yang teratur  sahaja   malah peribahasa ini mempunyai pengertian  yang tertentu.


   Pada umumnya peribahasa digunapakai dalam kalangan masyarakat Melayu adalah untuk memberi  pengajaran atau teguran dengan cara yang halus agar teguran tersebut tidak menyinggung hati mana-mana pihak. Justeru peribahasa itu berkaitrapat  dengan sikap dan perlakuan manusia yang digambarkan dalam pelbagai  yang  bersangkutan dengan alam sekeliling meliputi benda,haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Penggunaan peribahasa dalam masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala khasnya dan pada masa kini  amnya menunjukkan bahawa budaya dan adat resam bangsa Melayu amat unik dan indah , maka amat wajar  penggunaannya dipertahankan supaya kekal menjadi warisan bangsa serta tidak pupus ditelan zaman.

Sekian, terima kasih.